Tuesday, 31 July 2012

Perpaduan Melayu.



Perpaduan Melayu semakin kencang diperkatakan selepas pilihan raya umum lalu. Kemaraan pembangkang juga bertambah di parlimen. Isu perpaduan Melayu dicetuskan oleh kelompok yang prihatin dengan masa depan kuasa politik orang Melayu di Malaysia. Selama 50 tahun kuasa pentadbiran negara berada di tangan kaum itu tanpa dapat digugat oleh mana-mana pihak.

Kelompok nasionalis amat risau dan susah hati jika Melayu hilang kuasa manakala kelompok aliran agama, mereka tidak risau kerana bagi mereka kekuatan dan perpaduan Melayu terletak di dalam agama. Jika kuat penghayatan agama maka kuatlah Melayu.

Sejarah tamadun-tamadun di kepulauan Melayu dan Indocina silih-berganti. Kerajaan-kerajaan ini banyak bersandarkan kepada agama seperti Islam dan Hindu-Buddha. Tetapi tamadun pada zaman moden sangat berbeza. Amerika Syarikat menjadi sebuah negara bertaraf "super power" atau kuasa dunia kerana kekuatan ketenteraan dan ekonomi yang besar. Negara itu juga menguasai kekuatan teknologi maklumat, modal insan dan sosial masyarakat.

Walau bagaimanapun satu faktor kritikal yang menjadikan negara-negara kuasa dunia yang lain seperti Britain menjadi kuat dan berpengaruh ialah modal insan. Britain yang pernah menjadi empayar 200 tahun yang lalu tidak lagi kuat kerana pemimpin dan rakyatnya leka dengan kemewahan hidup dan kekuatan tersebut digantikan dengan negara lain.
"Maha suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan dan Dia maha kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia maha perkasa dan maha pengampun." (Al-Mulk:2)
 
Apakah teras kepada perpaduan Melayu yang hakiki? Bagi seorang ahli politik yang sayangkan bangsanya, dia akan melihat dari perspektif kuasa politik yang diperoleh melalui pilihan raya. Kuasa tersebut mesti dimenangi, dipertahankan dan dikekalkan. Manakala bagi seorang pejuang agama, dia melihat perpaduan Melayu dari perspektif kekuatan agama. Kuat agama maka kuatlah Melayu.

Bagi mengulas isu ini iaitu yang mana sepatutnya menjadi teras kepada perpaduan Melayu, adalah lebih baik kita melihat strategi Muhammad bin Abdullah saw menggerakkan umat Arab untuk bersatu dan menguasai sebahagian besar dunia dengan bermaruah.

Bangsa Arab menjadi kuat dan berpengaruh kerana mereka mengambil Islam sebagai cara hidup. Islam telah membentuk nilai-nilai yang menggerakkan kekuatan, kehebatan dan perjuangan yang luar biasa sehingga makam pahlawan dan pendakwah berselerak di merata tempat. Makam Saad bin Abi Waqas berada di China manakala kubur pedagang-pedagang Arab berselerakan di kepulauan Melayu.

Modul perubahan diri yang diguna pakai oleh Nabi Muhammad saw ialah al-quran dan sunnah. Kedua-dua bahan ini merupakan alat penting untuk melakukan transformasi umat Arab daripada menjadi masyarakat jahiliyah kepada sebuah bangsa yang menguasai dunia. Proses pembentukan dan pengukuhan ini terbina dalam masa 23 tahun sahaja.


Al-quran dan sunnah merupakan modul khas pendidikan daripada Allah swt untuk menjadi panduan dan rujukan kepada manusia. Al-quran dan sunnah mengajar dan mengajak manusia untuk berakhlak yang baik, lembut dan berbicara dengan santun. Rasulullah saw memulakan proses berkenaan sedikit demi sedikit dengan menguatkan asas akidah, mengukuhkan persaudaraan dan keyakinan kepada Islam. Seterusnya barulah dikembangkan kepada sosial, politik dan ekonomi. Ia sesuai dengan tugs seorang rasul iaitu membawa khabar gembira, menyampaikan peringatan, menjadi saksi umat di akhirat kelak serta khabar syurga dan neraka.

Al-quran dipenuhi dengan cerita-cerita untuk diambil sebagai teladan seperti Ashab al-kahfi atau Abu Lahab.

Pada peringkat awal, baginda saw menyampaikan asas-asas akidah melalui kumpulan usrah yang kecil. Di sinilah nilai-nilai bangga dengan Islam, berasa mulia dengan Islam dan sanggup mempertahankan Islam dibentuk. Perkara yang paling penting ialah proses membebaskan pemikiran daripada budaya dan amalan jahiliyah kepada perasaan bangga dan berasa hebat apabila bersama dengan Islam.

Nilai-nilai inilah yang menjadikan Umar Al-Khattab r.a seorang yang adil, Hatim seorang yang dermawan, Al-Ahnaf seorang penyantun dan sopan, Ibrahim bin Adham seorang yang zuhud dalam kehidupannya, Ibnu Al-Jauzi seorang yang hebat nasihatnya, 'Antarah seorang yang berani, Abu Hanifah seorang yang cerdas dalam fikah, Abu Zar seorang yang jujur, Ibnu Khaldun yang pakar sejarah, Ubay bin Kaab r.a seorang pakar dalam bidang bacaan al-quran, Umar Abdul Aziz seorang khalifah yang soleh dan Imam Bukhari pakar dalam bidang hadis.

Masa depan perpaduan Melayu tidak akan muncul dari kelompok nasionalis yang menggunakan perpaduan bangsa sebagai tema sebaliknya perpaduan Melayu akan terserlah di tangan pejuang-pejuang agama. Mereka ini tidak semestinya berada di dalam kelompok politik sebaliknya boleh jadi dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sebuah jemaah Islamiah yang mempunyai ahli-ahli yang ikhlas untuk menegakkan kasih-sayang sesama umat Islam. Momentum gerakan kelompok ini semakin kuat apabila masyarakat Melayu sendiri secara beramai-ramai mula mencari pendekatan untuk menyelesaikan masalah mereka yang merisaukan seperti isu peljar sekolah dan remaja Melayu pada hari ini.

Orang-orang Melayu yang mula bimbang dan cemas apabila melihat tingkah laku remaja mereka pada hari ini, mula mencari jalan keluar kepada keadaan ini. Semakin hari semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah agama dan kerajaan sendiri terpaksa menambah sekolah aliran ini. Ini adalah petanda bahawa masyarakat Melayu menaruh keyakinan yang sangat tinggi terhadap agama Islam sebagai benteng kerosakan akhlak anak-anak mereka.


Pejuang kebangsaan hanya dapat melaungkan suara perpaduan tetapi mereka ketandusan teras. Tempat mereka ini sedang diambil alih oleh kelompok yang memahami benar punca perpaduan yang mengutamakan kasih-sayang dengan agama sebagai teras. Mereka ini mahu mendidik masyarakat dengan asas kefahaman dan praktikal Islam dan pasa masa yang sama berbakti seluas-luasnya kepada masyarakat.

Orang Melayu lemas dengan kehidupan yang tidak selamat, jenayah berlaku setiap hari dan pemimpin yang tidak amanah. Mereka lari kepada agama kerana ingin mendapatkan keselamatan, melenyapkan jenayah dan menolak keluar pemimpin yang mungkar.

Penyelesaian kepada ketiga-tiga isu ini dan isu-isu lain ialah mengukuhkan kefahaman kepada agama Islam. Dalam agama ada pendidikan, politik, eknomi dan sosial yang mana akan memberi kuasa dominan kepada mereka. Arab menjadi kuat kerana Islam. Turki menjadi bangsa hebat kerana Islam dan Melayu boleh menjadi lebih hebat jika mengambil Islam sepenuhnya.

Kita tidak mahu perpaduan Melayu hanya kerana menjaga kuasa kelompok elit dalam masyarakat yang menyalah guna kuasa dan amanah. Apa yang kita mahu ialah perpaduan Melayu yang menguntungkan rakyat keseluruhannya. Kita mahu implikasi perpaduan tersebut membawa kesejahteraan kepada bangsa-bangsa lain supaya mereka hormat kepada bangsa Melayu dan mahu berterima kasih.

Perpaduan Melayu tanpa kasih-sayang adalah perpaduan yang sia-sia. Persengketaan dan perpecahan Melayu hanya dapat diselesaikan dengan kasih dan sayang yang lahir dari hati yang bersih. Sebelum kasih-sayang muncul, hati-hati yang ada pada setiap orang Melayu mesti ditempa dan dicanai supaya lahir keinginan untuk berkasih-sayang.

Rasulullah saw juga mengambil masa untuk memproses hati kaum Ansar dan Muhajirin. Namun setelah wujudnya akidah yang satu, perasaan kasih-sayang yang jitu dan kefahaman Islam yang padu, kekuatan umat dan bangsa Arab menaungi seluruh dunia.

"Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka baginya tidak ada seorang pun yang akan memberi petunjuk." (Al-Ra'd:33)

Sumber:http://pejuangmelaka.blogspot.com

Wednesday, 18 July 2012

Marhaban ya Ramadhan Kareem



              
 
“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”
(AL-BAQARAH : 183)

GPMS Cawangan Khas UIAM dengan setulus hati mendoakan  :-

Semoga Ramadhan pada tahun 1433H ini bakal menjadi sejarah permulaan puasa yang sebenar-benarnya, bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, melawan nafsu jiwa dan rasa,  seperti hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan al-Hakim : 

Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor. Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa’

            Kerana Ramadhan itu adalah bulan yang mulia - telah diturunkan Al-Qur’an dalam bulan Rahmah ini, telah dijanjikan pulangan berlipat kali ganda dalam setiap amal soleh yang dikerjakan, telah disebut keuntungan besar kepada mereka yang sentiasa mengejar Rahmat Allah dan telah dijanjikan nikmat ganjaran malam Lailatul Qadr. Hadith riwayat al-Nasaai :

‘Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah.’ 

Nauzubillahiminzalik. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang disebut dalam hadith di atas





Akhir kata, selamat menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin. Bukan bazaar ramadhan yang kita nantikan, bukan juga nikmat bermoreh yang kita kejarkan.  Tetapi berlumbalah untuk menggandakan amalan dan prestasi ibadah dalam madrasah yang penuh kenikmatan dan rahmah ini. Semoga Allah S.W.T. permudahkan segala urusan:)
 

‘This coming Ramadan, eat less and think more because the amount of food you eat in Ramadan should be less than in other months’ 
 Prof Tariq Ramadan

Friday, 13 July 2012

Aktiviti- LEDANG 1.0

Tanggal 7 Julai 2012 menyaksikan keperwiraan para ahli GPMS Cawangan Khas UIAM yang telah berjaya menawan puncak Gunung Ledang (1276meter).

Pendakian gunung yang diwartakan sebagai pendakian ke-6 paling extreme dalam Malaysia bermula seawal jam 10 pagi.





















Aktiviti- "Islam is The Way of Life"

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Alhamdulillah, 20-24hb Mei yang lalu,usai sudah program "Islam is The Way of Life" di SMK Abdullah Munsyi, Pulau Pinang.
Program tersebut merupakan program koloborasi antara BRC Mahallah Sumayyah, BRC Mahallah Bilal serta GPMS Cawangan Khas UIAM.
Program berjaya menghimpunkan 43 orang fasilitator dan komiti dari ketiga-tiga organisasi tersebut dan melibatkan 120 orang pelajar dari SMK Abdullah Munsyi.

Syukur,feedback yang diterima daripada para pelajar amat memberangsangkan.Rata-rata pelajar berasa terkesan dengan program tersebut yang mana objektif utama adalah untuk menerapkan nilai-nilai sahsiah Islamiah dalam kalangan pelajar-pelajar.

Ini merupakan julung-julung kali program koloborasi yang dianjurkan oleh GPMS Cawangan Khas UIAM di bawah pimpinan saudara Salleh selaku YDP.

Semoga program tersebut memberi impak positif baik kepada pelajar mahupun para komiti serta fasilitator.