Friday 20 September 2013

Kursus Induksi AJK Tertinggi GPMS Caw Khas UIAM Sesi 2013

     Pada 14 September 2013 (Sabtu) yang lepas, pihak GPMS Caw. Khas UIAM telah pun mengadakan "Kursus Induksi AJK Tertinggi GPMS Caw. Khas UIAM" bagi sesi 2013. Kursus ini dihadiri oleh seramai 13 orang exco dalam AJK tertinggi dan turut dihadiri oleh 3 orang alumni. Objektif utama kursus ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi penerangan jelas kepada setiap exco tentang bidang tugas masing-masing dan juga bagaimana cara-cara untuk mengendalikan sesebuah program. Dalam masa yang sama, objektif kursus ini adalah untuk mengeratkan lagi 'bonding' antara semua exco yang terlibat. Pada kursus ini juga, 3 orang alumni hadir untuk bersama-sama berkongsi pengalaman mereka semasa memegang jawatan AJK tertinggi pada masa dahulu.






Selamat menjalankan tugas kepada semua exco dan juga selamat menjalankan amanah yang diberi dengan seikhlas hati. Jangan lupa, doakan kami semua!

Rasulullah S.A.W bersabda : " Tiada iman terhadap mereka yang mengabaikan amanah baginya. Tiada agama terhadap mereka yang tidak melaksanakan janjinya. " - Hadis riwayat Imam Ahmad

Wednesday 21 August 2013

Kenyataan Bersama Pembantahan Penggunaan Kalimah Allah Dalam Penerbitan Kristian Berbahasa Melayu

     Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan pihak The Church untuk menggunakan nama Allah sebagai terjemahan istilah 'God' di dalam penerbitan agama Kristian berbahasa Melayu. Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan untuk menghalang penggunaan kalimah ini. Seperti yang dijangka, pihak The Church telah membuat permohonan bagi membatalkan rayuan tersebut yang mana akan dibicarakan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 22 Ogos 2013 ini.

     Kami memandang ini sebagai satu usaha terancang yang bertujuan untuk mengelirukan dan mencairkan aqidah umat Islam di Malaysia. Perkara ini telah pun berlaku di begara jiran kita, Indonesia, di mana kalimah Allah telah digunakan secara bebas oleh agama Kristian. Seperti contohterdapat papan tanda yang mempunyai mesej bertulis "Rumah Allah" tetapi menunjukkan sebuah bangunan gereja.

     Sehubungan itu, kami, gabungan gerakan mahasiswa Islam UIAM atas rasa kasih dan sayang kepada kesucian kalimah Allah dan umat Islam seluruhnya membantah sekeras-kerasnya kalimah Allah sebagai ganti nama istilah "God" dalam bahan penerbitan Kristian berbahasa Melayu.

     Kami juga ingin menyatakan sokongan kami kepada Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang akan mewakili suara umat Islam untuk berhujah semasa perbicaraan ini agar permohonan pembatalan rayuan ini ditolak.

     Kami juga ingin menyeru kepada semua mahasiswa Islam di UIAM untuk sentiasa peka dengan serangan-serangan halus yang menyerang Islam. Mahasiswa Islam juga mestilah sentiasa merasakan satu keperluan yang mendesak untuk menangkis segala cubaan untuk merendahkan Islam dan bersatu dalam memastikan kedaulatan agama Islam sentiasa terjamin.

Kenyataan bersama oleh :
PEMBINA UIAM
GPMS Cawangan Khas UIAM
WAFA (Women Affairs Association)
Sekretariat PERKIM UIAM

Thursday 11 July 2013

Rehal Ramadan: Puasa, tarawih himpun pahala, hapus dosa

MUKMIN yang taat kepada perintah Allah sentiasa bergembira dan merindukan kehadiran Ramadan, bulan agung penuh barkah dan kerahmatan.
Mereka yang masih dipanjangkan usia hingga bersua dengan Ramadan kali ini, sewajarnya bersyukur. Ia adalah tanda Allah masih memberi peluang untuk mereka memperbaiki diri, memperbanyak dan menambah bekalan berupa amal soleh buat persiapan menuju alam baqa.
Kesempatan yang sangat bernilai ini, sewajarnya direbut, sekali gus berazam untuk melaksanakan puasa dengan sebaik-baiknya.
Ramadan menurut istilah Arab bererti terlampau panas. Mengikut sejarah, sewaktu ingin meminda nama bulan daripada bahasa lama kepada yang baru, bangsa Arab menamakannya mengikut suasana/keadaan yang berlaku pada sesuatu masa tertentu.
Kebetulan suasana waktu itu terlalu panas, maka dinamakan Ramadan. Dapat juga difahami bahawa dengan makna ‘terlalu panas’ itu, maka Ramadan dapat membakar segala dosa orang mukmin menerusi pelbagai ibadat yang dilaksanakan dengan penuh ikhlas seperti berpuasa dan solat Tarawih.
Nabi Muhammad bersabda maksudnya: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu.”(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Alangkah ruginya jika kebanyakan umat Islam mensia-siakan atau tidak memanfaatkan kedatangan Ramadan yang sebentar itu dengan kerja kebajikan. Perkara ini kerana pada bulan inilah Allah memberi banyak keistimewaan iaitu berupa ganjaran pahala berganda bagi setiap amalan baik yang dikerjakan. Ia tidak dikurniakan Allah pada bulan lain.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda :“Sekiranya manusia mengetahui kebajikan yang terkandung dalam Ramadan itu, tentulah mereka mengharap-harap supaya Ramadan berlaku sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya).
Ramadan hadir membawa rahmat serta maghfirah (keampunan) Allah. Allah akan mengurniakan pahala yang berlipat ganda bagi setiap ibadat wajib yang dilakukan pada Ramadan. Satu ibadat wajib pada Ramadan menyamai 70 ibadat wajib di luar Ramadan, manakala ibadat sunat akan mempunyai nilai yang sama dengan ibadat wajib apabila dilakukan dalam Ramadan. Malah, segala bentuk kebajikan sekecil dan seringan mana pun, jika dilakukan dengan ikhlas pada Ramadan mengandung nilai ibadat.
Peluang umat Islam mengaut ganjaran pahala yang Allah tawarkan sangat terbuka luas melalui pelaksanaan pelbagai ibadat yang menjanjikan pahala berganda. Ini seperti membaca dan bertadarus al-Quran, berzikir, bersedekah, beriktikaf, berselawat, solat Tarawih serta ibadat sunat lain, selain solat fardu.
Ramadan adalah bulan yang dimakbulkan doa, bulan Allah memberi pengampunan, bulan penyucian diri, malah tidur dan tarikan nafas seorang mukmin diberi pahala ibadat.
Berdasarkan beberapa penjelasan hadis, dapat disimpulkan bahawa Ramadan adalah bulan ibadat iaitu bulan yang pada satu sisi mampu memperbanyak pelbagai nilai positif atau pahala. Pada sisi lain mampu pula menghanguskan pelbagai nilai negatif atau dosa.
Pengumpulan pahala secara besar-besaran seiring dengan penghapusan dosa itu, dihasilkan menerusi pelbagai bentuk ibadat dan amalan soleh, baik yang berbentuk wajib mahupun sunat.
Dua ibadat yang menjadi inti amaliah Ramadan ialah puasa dan solat Tarawih. Dua jenis ibadat itu mampu menawarkan kedua-dua sisi di atas iaitu pengumpulan pahala dan penghapusan atau pembakaran dosa.
Oleh kerana puasa dan solat Tarawih adalah ibadat istimewa pada Ramadan, maka apabila ia dilakukan dengan sempurna dan ikhlas, seseorang itu akan meraih ganjaran pahala berlipat ganda. Ternyata pada masa sama, hasil pelaksanaan puasa dan ibadah Tarawih, sekali gus juga menghapuskan dosa
Perkara itu sesuai dengan sabda Nabi bermaksud: "Ramadan adalah bulan yang Allah telah memfardukan atasmu berpuasa dalamnya, dan aku telah mensunahkan bagimu berdiri dan beribadah pada malamnya. Barang siapa berpuasa dan bersolat lail (Tarawih) kerana iman dan kerana mengharapkan Allah, nescaya dia keluar daripada dosanya, bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Abu Hurairah).

*** Dipetik daripada laman web Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Tuesday 9 July 2013

Ramadhan Mubarak 1434H

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, sekali lagi kita diberikan peluang oleh Allah S.W.T untuk bertemu dengan bulan Ramadhan tahun ini yang penuh dengan keberkatan. Sama-sama lah kita mempertingkatkan lagi ibadah di bulan Ramadhan ini, semoga Allah akan menerima ibadah puasa yang kita semua jalani, insyaAllah..





*** Nabi Muhammad bersabda maksudnya: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu.”(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Monday 8 July 2013

Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR SK Antara Gapi 2013

Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR SK Antara Gapi 2013 telah diadakan pada 5 hingga 6 Julai yang lepas bertempat di Cholo-Cholo Eco Resort Ulu Tamu Batang Kali, Selangor. GPMS UIAM telah menerima jemputan untuk menjayakan kem ini sebagai fasi kepada adik-adik Darjah 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Semestinya objektif utama kem ini adalah untuk memberikan galakan motivasi kepada mereka dalam menghadapi peperiksaan yang bakal mereka duduki.

Sepanjang kem berlangsung, selain daripada ceramah motivasi diberikan kepada adik-adik ini, pelbagai aktiviti dijalankan hasil daripada perbincangan antara pihak sekolah dan pihak kami GPMS UIAM. Antara aktiviti lain ialah latihan dalam kumpulan (LDK) seperti 'Masih belum terlewat' , 'Fikirkan boleh' , '5A dalam genggaman' dan lain-lain lagi. Ternyata dari riak wajah adik-adik ini menggambarkan keseronokan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang diadakan. Kami dari GPMS UIAM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah yang sudi menjemput kami dan kami mendoakan semoga adik-adik peserta Darjah 6 dari SK Antara Gapi ini bakal memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal dihadapi nanti, insyaAllah..








*** DOA, USAHA, IKHTIAR dan TAWAKAL