Sekitar tahun 1945 hingga 1946, Aminuddin Baki mula
menunjukkan minat terhadap persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan
Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di
Victoria Institution, Kuala Lumpur walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11
orang ahli. Persatuan ini kemudiannya bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan
Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946, dengan tujuan
menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Manakala, Aminuddin pula
telah dilantik sebagai setiausaha.
Allahyarham Aminuddin Baki
Pada masa yang sama, beliau telah menubuhkan persatuan
pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Insaf
(PERMI) pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana
pada Oktober 1947, beliau telah diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles yang
kini merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura sejak 8
Oktober 1949.
Di sinilah Aminuddin telah bertemu dengan Abdul Wahab
Mohamed Ariff apabila mereka tinggal sebilik. Abdul Wahab pada ketika itu
adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Perubatan dan Kolej Raffles,
Singapura dan sangat mengambil berat tentang jumlah pelajar-pelajar Melayu di
pusat Pengajian Tinggi. Jadi, mereka selalu berbincang mengenai pergerakan
pelajar dan akhirnya mereka melahirkan idea menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung. Antara mereka yang turut memberi sokongan kepada idea ini ialah
Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Tun Dr. Siti Hasmah
Bermula dengan persidangan yang membabitkan tujuh kesatuan
pelajar di Jalan Tambun, Ipoh, satu konvensyen pelajar Melayu dari seluruh
Semenanjung Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos
1948. Di sinilah satu ketetapan dibuat untuk bersetuju menubuhkan Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung atau lebih dikenali dengan singkatan GPMS.
Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari
Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura (kolej ini
kemudiannya menjadi Universiti Malaya, Singapura selepas bergabung dengan Kolej
Raffles). Mereka yang bertanggungjawab mengadakan konvensyen dan menubuhkan
Jawatankuasa Sementara GPMS dibarisi oleh Aminuddin Baki (Presiden GPMS
1950-1951 dan 1952-1953), Datuk Paduka Prof. Abdul Wahab Mohamed Ariff
(Presiden GPMS 1948-1949), Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti
Hasmah Mohd. Ali.
GPMS adalah satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang
pertama ditubuhkan di negara ini hasil dari kesedaran akan pentingnya bidang
akademik di kalangan anak-anak Melayu. GPMS memperkenalkan konsep kelas
bimbingan sejak tahun 1950-an lagi. Kegiatan kelas bimbingan ini mendapat
sambutan yang cukup baik daripada pelajar dan masyarakat pada masa itu. Mulai
tahun 1960-an, pertubuhan belia negara ini mula menjadikan kelas bimbingan
sebagai aktiviti persatuan.
Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti-aktiviti baru
dengan mengadakan kursus untuk pelajar. Dalam kursus ini, konsep perkhidmatan
masyarakat mula diperkenalkan. Ahli-ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya
bergerak mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran ke dalam diri mereka
akan peri pentingnya pelajaran sebagai kunci kemajuan bangsa. Sebagai susulan
daripada kejayaan program itu, projek Gerakan Obor pula dipergiatkan. Pada
tahun 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah
tempat di tanah air.
Sejak tahun 1970-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui
program siri Ceramah Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan SPM Dan STPM. Zaman
terus berlalu, GPMS ikut merintis program-program baru seperti Ceramah
Motivasi, Seminar Teknik Pembelajaran Secara Berkesan, Seminar Bimbingan
Kerjaya, Peluang Melanjutkan Pelajaran, Kem Pendidikan dan Kem Kerjaya. Segala
aktiviti yang menjurus kepada pendidikan mencerminkan perjuangan utama dan
iltizam GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan dan organisasi lain yang berusaha
meninggikan taraf pendidikan anak-anak bangsa Melayu.
Dalam usianya sudah mencecah 60 tahun, perjuangan GPMS
berhasil memperkasakan perjuangan pelajar Melayu yang tidak pernah kunjung
padam. GPMS yang mempunyai cawangan dan badan gabungan di seluruh semenanjung
berusaha tanpa jemu untuk kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar Melayu demi
maruah bangsa dan negara.
Berbekalkan moto ‘Belajar Terus Belajar’, GPMS terus
memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. Mudah-mudahan usaha
murni ini demi memartabatkan agama Islam, bangsa Melayu dan bumi Malaysia yang
tercinta ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment