Pada 4 Oktober 2012 (Khamis), GPMS UIAM telah mengadakan program Malam Mahabbah 2.0 bertempat di Multipurpose Hall FFSD. Objektif utama program ini adalah untuk memberikan penerangan yang lebih jelas kepada ahli-ahli GPMS UIAM berkenaan prinsip perjuangan yang ditegakkan dalam GPMS itu sendiri. Presiden GPMS Kebangsaan, Saudara Jais Bin Abd Karim telah hadir ke program ini bagi menyampaikan sendiri ceramah kepada para hadirin dengan tajuk "Perjuangan GPMS atas dasar non-partisan. Program yang bermula pada jam 9.00 malam ini telah dihadiri oleh beberapa ahli majlis teringgi GPMS Kebangsaan antaranya Y.Bhg Dato' Hj. Irmohizam Bin Hj. Ibrahim dan Saudara Alif Anas Bin Hj Md. Noor. Wakil-wakil dari GPMS Cawangan Wangsa Maju, GPMS Cawangan Khas UniSel Bestari Jaya dan GPMS Cawangan Khas Kolej Islam Antarabangsa turut hadir sama sebagai tanda sokongan dan ukhwah kepada GPMS UIAM.
YDP GPMS UIAM, Saudara Mohd Salleh Bin Tugimin telah memberikan ucapan beliau dengan menyatakan objektif program Malam Mahabbah 2.0 diadakan bagi memberikan penerangan yang lebih jelas tentang dasar perjuangan GPMS dan signifikannya kepada ahli-ahli GPMS. Beliau turut memberitahu kejayaan program Malam Mahabbah 1.0 Ahli Keluarga GPMS UIAM yang telah berjaya menarik ramai ahli-ahli baru untuk menyertai GPMS UIAM. Program Malam Mahabbah yang diadakan seperti itu mampu menyatukan hati setiap ahli GPMS UIAM. Selain itu, Saudara Salleh memberitahu bahawa program pada malam ini bertindih dengan Majlis Konvokesyen UIAM yang turut berlangsung pada masa yang sama, menyebabkan rekod kehadiran berkurangan kerana ramai yang terlibat dengan majlis tersebut.
Seterusnya, Presiden GPMS Kebangsaan, Saudara Jais Bin Abdul Karim menyampaikan ucaptama beliau. Dalam ucapannya, Saudara Jais ada memberikan persoalan antara pendidikan dan motivasi, yang manakah lebih penting? Sudah pastilah pendidikan lebih penting dan falsafah GPMS sendiri adalah 'Belajar terus belajar'. Beliau turut menyelitkan bahawa Pilihan Raya Kampus (PRK) merupakan platform untuk melatih dan mempraktikkan ilmu kepimpinan. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa GPMS tidak menyebelahi mana-mana parti sama ada UMNO, PAS, mahupun parti-parti lain. Pernah suatu ketika beliau sendiri datang ke Kelantan dan berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Seri Nik Aziz Bin Nik Mat tetapi ditolak mentah-mentah dengan YB Dato' Seri Nik Aziz menyatakan GPMS tidak diterima di Kelantan disebabkan GPMS bersifat perkauman. Walau bagaimanapun, Saudara Jais telah memberikan penerangan kepada YB Dato' Seri Nik Aziz berkenaan hala tuju sebenar GPMS dan kemudian, barulah GPMS diterima di sana. Dalam masa yang sama, Saudara Jais turut memberikan penekanan terhadap hala tuju GPMS yang pertama iaitu GPMS memperjuangkan pendidikan dan orang Melayu atas dasar non-partisan. Akhir kalam, beliau memberi sebuah pepatah penting "Pemimpin tidak pernah lahir di bilik darjah tetapi lahir daripada himpunan masalah dan rakan-rakan".
Usai ucaptama daripada Saudara Jais, para hadirin dihiburkan pula dengan persembahan istimewa daripada kumpulan 'Voice of Nasyid Club' UIA. Mereka mendendangkan 3 buah lagu dan turut mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Seterusnya, cabutan bertuah turut diadakan bagi 20 orang yang bertuah. Majlis tamat pada jam 11.05 malam.